Friday, September 10, 2010

Pemberian biasiswa kepada pelajar Cina bukti rakyat didahulukan

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PemberianbiasiswakepadapelajarCinabuktirakyatdidahulukan/Article
2010/09/09
PENYAMPAIAN biasiswa kepada 50 lepasan sekolah swasta Cina pada Hari Kemerdekaan lalu oleh Koperasi Pembangunan Satu Malaysia sesuatu yang memberangsangkan.

Ia membuktikan bahawa ‘1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’ bukan sekadar slogan, malah sesuatu yang boleh ditunaikan. Permulaan ini juga menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk membangunkan modal insan yang pelbagai di negara kita.

Sungguhpun pelajar yang belajar di sekolah swasta Cina di seluruh negara tidak ramai, tetapi sekolah ini memainkan peranan penting dalam pembangunan negara bagi melahirkan pemimpin politik, ahli peniagaan dan cerdik pandai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil berat mengenai pembangunan sekolah swasta Cina ketika bertugas sebagai Menteri Pelajaran.

Kita berharap permulaan ini menjana transformasi yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara, memperkuatkan status negara sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dan seterusnya menarik bakat dari dalam dan luar negara untuk berkhidmat di negara kita.

Pembangunan modal insan adalah satu unsur yang penting di era yang penuh dengan saingan kerana ia akan memastikan negara dapat terus membangun melalui daya inovatif dan kreatif.

GOH HOE HOE, AJK MCA Kepong.