Penduduk Kepong minta pembangunan prasarana dinaik taraf
2010/03/25
SEBAGAI ahli jawatankuasa MCA Bahagian Kepong, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana dapat meluangkan masa untuk membuat lawatan kerja ke Kepong pada 12 Februari lalu.
Berikutan lawatan itu, penduduk dan pemimpin tempatan amat berharap pelbagai masalah tempatan dapat diselesaikan. Masalah kesesakan lalu lintas di kawasan ini begitu ketara, ekoran pembangunan yang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kami berharap jejantas atau ‘fly-over’ boleh didirikan di tempat strategik bagi memperbaiki keadaan lalu lintas di Kepong. Kami juga berharap perkhidmatan LRT boleh dilanjutkan ke Kepong. Masalah perumahan juga menjadi masalah yang harus diberikan perhatian seperti pangsapuri rakyat yang siap dibangun, tetapi tidak boleh didiami dan pembangunan semula rumah panjang di Jinjang Utara yang tak terlaksana atas sebab teknikal. Penduduk juga berharap lebih banyak sekolah boleh didirikan untuk menampung permintaan yang meningkat disebabkan pertambahan jumlah penduduk. Kami juga berharap Tadika tajaan kerajaan boleh ditubuhkan di kawasan strategik misalnya di pangsapuri rakyat supaya anak golongan berpendapatan rendah mempunyai peluang untuk mengikuti pendidikan prasekolah.
Kehijauan adalah juga satu aspek yang tidak boleh diabaikan. Kami berharap lebih banyak taman rekreasi didirikan di kawasan Kepong supaya penduduk khasnya warga mas mempunyai tempat untuk joging dan sebagainya.
Selain itu, usaha juga mesti ditingkatkan bagi mencantikkan sungai di kawasan Kepong untuk menjamin suasana hidup penduduk tempatan dan menarik pelancong ke Kepong yang penuh dengan pelbagai budaya dan pemandangan indah.
Kami amat berharap Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dapat bekerjasama dengan rapi untuk memastikan pembangunan di kawasan Kepong berjalan teratur bagi menjamin pembangunan seimbang dan berterusan.
GOH HOE HOE,
Ahli Jawatankuasa MCA
Kawasan Kepong.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PendudukKepongmintapembangunanprasaranadinaiktaraf/Article
Thursday, March 25, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)