Sunday, August 8, 2010

Masyarakat Malaysia kurang hargai kehebatan hasil seni pelukis tempatan


2010/08/06


KETIKA mengunjungi Kompleks Kraf Kuala Lumpur baru-baru ini, saya rasa kurang selasa kerana pakaian dibasahi hujan. Namun, dua pelukis tempatan yang hanya saya kenali sebagai Salleh dan Rahim Mat masih mampu menghasilkan potret yang penuh keperibadian dan bernyawa melalui lukisan mereka.

Apabila saya bertanya bagaimana menghasilkannya? Jawapan mereka ialah kesungguhan dan kuasa penglihatan ketiga atau third eye power yang ada pada mereka.
Kunjungan saya ke kompleks itu sesuatu yang bermanfaat dan memberikan kenangan paling manis. Selepas melihat pameran, saya makan roti jala Kedah di tempat jamu selera sambil berbual dengan sekumpulan pelukis yang bertapak di kompleks itu.

Saya tertarik dengan persembahan seni lukis yang mereka tunjukkan pada masa itu dan meminta mereka melukis potret saya.

Perjumpaan saya dengan kumpulan pelukis itu memang memperluaskan pengetahuan dan pengalaman dalam bidang seni lukis.

Kerja yang dihasilkan pelukis profesional bukan sekadar gambar tetapi seni bernilai tinggi yang merakamkan peristiwa istimewa. Lukisan juga adalah satu media komunikasi yang menghuraikan keperibadian dan suasana melalui pandangan ketiga pelukis.
Ia juga dapat membawa perutusan penting dan menyampaikan hasrat individu atau masyarakat.

Masa yang diambil untuk menghasilkan lukisan sangat panjang selama beberapa hari malah berpuluh tahun berbanding fotografi digital, namun nilainya memang tidak dapat diukur.

Seni lukis adalah bahagian rohani yang tidak terpisah daripada kehidupan harian kita dan daya dorongan inovatif, dalam erti kata lain ia melambangkan jiwa sesebuah negara.

Perkembangan seni lukis juga ada kaitan dengan perkembangan ekonomi dan sosial sesebuah tamadun. Umpamanya hasil seni lukis cemerlang yang paling banyak dihasilkan di China adalah pada zaman kegemilangan Tang, Song dan Ming.

Tidak dapat dinafikan banyak insentif dan bantuan diberi kerajaan untuk pembangunan seni lukis di negara ini, tetapi kesedaran khalayak terhadap nilai dan kepentingan seni lukis masih rendah dan ini adalah gejala yang sangat membimbangkan.

Kita mesti mengambil tindakan segera membangkitkan kesedaran rakyat terhadap nilai seni untuk mencapai pembangunan yang seimbang dan berterusan.

GOH HOE HOE,
AJK MCA Kepong