ARKIB : 31/03/2009
Luahan harapan kepada Najib
SAYA ucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak kerana diberi mandat untuk menerajui UMNO dan bakal menerajui Malaysia. Saya adalah penghuni Kampung Kasippilai, Sentul. Kampung ini terkenal kerana Sektor Rukun Tetanga yang pertama ditubuhkan di kampung ini.
Sebagai seorang rakyat yang menghargai perpaduan saya ingin menyampaikan luahan hati saya kepada Najib yang bakal mentadbir negara.
- Pemimpin-pemimpin, wakil rakyat dan penyokong Barisan Nasional (BN) mestilah disepadukan dengan lebih erat supaya dapat memberikan perkhidmatan yang baik dan berkesan kepada rakyat.
- BN mestilah mencari titik permulaan baru bagi meningkatkan usaha membawa kesejahteraan kepada rakyat Malaysia serta membuat sumbangan yang lebih besar pada kurun ke-21. Ini boleh dilakukan berdasarkan pengalaman BN mentadbir Malaysia selama 50 tahun.
- Jangan kita lupakan semangat tokoh-tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan untuk Malaysia. Pemimpin-pemimpin yang terdahulu tahu kepentingan bagi mereka untuk berdialog dengan rakyat, berjuang bersama rakyat dan berkorban untuk rakyat.
- Kita mesti percaya keberanian yang tidak terhad, kebijaksanaan yang tidak terhad dan kekuatan tenaga yang tidak terhad adalah daya dorong politik. Semangat demokratik adalah nilai yang terpenting dalam politik.
- Di mana pun kita berada, kita mestilah berjuang berdasarkan tiga nilai murni yang penting iaitu kejujuran, kebersihan dan keadilan.
- Perubahan dunia adalah cepat ekoran globalisasi. Sebagai satu sistem yang terbuka Malaysia juga tidak terkecuali dari kesan arus globalisasi. Dalam era yang baru ini BN mestilah berusaha bersama-sama rakyat melalui tindakan dan pembaharuan yang wajar serta meningkatkan daya saing kita untuk mencapai kemenangan untuk semua.
- Pada abad ke-21, BN mesti berusaha untuk menegakkan negara Malaysia yang cergas dan dinamik. Pastikan pembangunan yang berterusan dengan mengutamakan modal insan.
- BN mesti menyakinkan setiap rakyat bahawa semua manusia mempunyai potensi yang tidak terhad. Semua orang boleh menjadi manusia yang cemerlang dan berinovatif melalui proses pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat. Modal insan adalah satu faktor yang tersangat penting bagi Malaysia untuk terus mencapai kecemerlangan di abad ke-21.
- Kita patut tahu bahawa hubungan sosial kita boleh diibaratkan sebagai bulatan-bulatan concentric (titik tengah sama) yang terus berkembang. Kehidupan keluarga tidak terasing dengan keadaan sosial tempatan, negara dan dunia.
Selama ini kita sudah buktikan yang kita orang Malaysia dapat hidup dalam muhibah dan bersatu padu di bawah budaya yang berbilang.
Ini adalah sumbangan terbesar negara kita kepada dunia. Dengan status cemerlang ini kita akan disanjung tinggi oleh negara-negara lain dan terus memainkan peranan yang penting untuk memupuk semangat damai di dunia.
- Secara keseluruhan BN mempunyai falsafah politik yang baik. Ini penting kerana politik yang tidak berdasarkan falsafah dan ideologi akan menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat dan menyebabkan kemelesetan ekonomi negara. Politik yang tidak relevan dengan kehidupan rakyat akan menyebabkan rakyat sesat arah.
- BN perlu membuat perubahan dan pembaharuan sejajar dengan peredaran masa untuk memastikan kita terus mencapai kecemerlangan pada abad ke-21.
Tetapi janganlah kita lupakan falsafah baik yang diamalkan oleh pemimpin-pemimpin waktu kita mencapai kemerdekaan. Politik yang tidak berdasarkan falsafah dan ideologi baik akan menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.
GOH HOE HOE
Kuala Lumpur
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0331&pub=utusan_malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm&arc=hive
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment