Monday, July 19, 2010

Penghargaan Kepada Law Teik Hock pemain skud Piala Thomas 1949


Contohi semangat Law Teik Hock
27 Februari 1949 adalah hari yang paling bersejarah untuk kita, pada hari itu tertubuhnya MCA yang kemudiannya membentuk perikatan dengan UMNO dan MIC untuk membawa kemerdekaan kepada Malaysia. Pada hari itu juga negara kita yang dikenali sebagai Malaya mencatatkan sejarah menjadi johan Piala Thomas setelah mengalahkan Denmark 8-1 di perlawanan akhir di England. Perlawanan diadakan selama dua hari dari 26 hingga 27 Februari.

Salah seorang ahli skuad badminton kita dalam pertandingan pada masa itu ialah Law Teik Hock yang baru meninggal pada 16 Julai lalu.

Law yang berasal dari Pulau Pinang diturunkan sebagai pemain simpanan menggantikan pemain perseorangan pertama Wong Peng Song yang mengalami kecederaan.

Dalam perlawanan pertama beliau bertemu dengan Jorn Skaarup, pemain terhandal di dunia pada masa itu dengan straight set 15-5, 15-0. Mengikut ayah saya seorang peminat sukan badminton, sesiapa pun tidak jangka Teik Hock mampu melakukannya kerana sebelum itu Skaarup tidak pernah ditumpaskan oleh sesiapa pun. Teik Hock pula adalah seorang pemain yang tidak pernah bermain di pertandingan badminton antarabangsa.

Mengikut laporan akbar tempatan pada masa itu Teik Hock adalah seorang pemain yang tabah hati, bermain bermati-matian menentang Skaarup yang membuat pukulan smash bertubi-tubi. Kemenangan Teik Hock yang bersejarah itu memanglah sesuatu yang membawa keyakinan dan semangat kepada skuad negara yang menang dengan 8-1.

Teik Hock cuma mewakili negara dalam Kejohanan Piala Thomas, tetapi jasanya kepada negara adalah sangat besar kerana telah membangkitkan semangat perjuangan dan mengharumkan nama negara.

Ada yang mengatakan permainan Teik Hock kurang konsisten dan kemenangannya ke atas lawannya adalah disebabkan oleh nasib yang memihak kepadanya.

Pada saya itu tidak benar. Ini kerana beliau bukanlah pemain profesional yang menerima latihan yang tetap. Pemain-pemain yang bermain pada masa itu memang pemain yang mempunyai sikap yang positif sungguhpun tidak mempunyai pendapatan yang stabil, tetapi sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk negara tanpa mengharapkan ganjaran.

Semangat cinta kepada negara yang ditunjukkan oleh Teik Hock dan pemain pemain skuad badminton masa itu haruslah dipelajari dan diwariskan oleh generasi muda.

Sungguhpun Teik Hock sudah meninggal tetapi jasa baik dan semangat cinta beliau kepada negara akan kekal berada dalam ingatan kita.

GOH HOE HOE Kepong">


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm

No comments: