Friday, October 15, 2010

पेर्तानियन दी अतस bumbong




TOMOHIRO KITAZAWA bukanlah petani biasa. Beliau tidak bekerja di bawah cahaya matahari terik mahupun di sebuah kawasan ladang, sebaliknya beliau perlu melaporkan diri di tengah-tengah kesibukan bandar raya Tokyo untuk mencari nafkah.
Sungguhpun bandar raya ibu negara Jepun itu bergelut dengan pelbagai masalah daripada keselamatan makanan ke isu pemanasan global sehinggalah pengangguran, semakin ramai penduduk di kota metropolis itu memilih untuk menjadi petani bandar dengan bercucuk-tanam di atas bangunan-bangunan tinggi atau di sudut tertentu di bawah tanah.
Kitazawa, 31, tiba untuk bekerja di daerah kewangan Tokyo, Otemachi, dalam sebuah lif berwarna perak. Apa yang dahulunya peti kebal bawah tanah sebuah bank kini telah diubah kepada sebuah dunia penuh kehijauan yang dikelilingi dengan udara lembap yang panas.
Beliau merupakan salah seorang daripada ramai golongan muda di situ yang tidak mempunyai pendapatan stabil apabila kebanyakan syarikat-syarikat di Jepun mengurangkan peluang pekerjaan.
Tetapi beliau mengakhiri zaman pemburuan peluang pekerjaan selama bertahun-tahun apabila menemui peluang bercucuk-tanam di tengah-tengah bandar raya Tokyo.
"Pada mulanya, saya berasa pelik untuk menanam sayur-sayuran dengan cara ini, tetapi saya telah mula memperoleh ganjarannya," kata Kitazawa.
Ladang berteknologi terkini yang dikenali sebagai Pasona O2 itu diwujudkan oleh agensi pekerja sementara yang berpangkalan di Tokyo, Pasona Group Inc.


KAKITANGAN NTT menunjukkan ubi keledek yang dituai dari kebun atas bumbung di Tokyo.

--------------------------------------------------------------------------------


Suhu di dalam ladang tersebut dengan berhati-hati telah diselaraskan kelembapan dan pencahayaan sekeliling agar sayur-sayuran boleh tumbuh dengan subur.
Kitazawa menanam beberapa jenis sayur salad di salah satu daripada enam buah 'ladang', yang kelihatan seperti makmal-makmal angkasa yang dibahagikan oleh pintu kaca yang dibuka dan ditutup secara automatik.
Bilik-bilik pertanian lain digunakan untuk menanam padi, pokok bunga ros dan sayur-sayuran seperti tomato dan labu.
"Kami mahu mengaktifkan sektor pertanian Jepun dengan menggunakan tenaga golongan muda yang penuh semangat," kata Sayaka Itami, Ketua Divisyen Pembangunan Perniagaan Pasona yang baru.
"Dengan mewujudkan sistem ladang baru yang juga terang dan bersih ini di tengah-tengah Tokyo, kami mahu menarik minat golongan muda ke arah sektor pertanian," kata wanita tersebut.
Beliau berkata, pertanian urban telah membantu syarikat itu mewujudkan sumber pekerjaan yang baru.
Pertanian bandar juga menawarkan sebuah penyelesaian untuk satu lagi masalah di Tokyo dan bandar-bandar utama lain, apa yang diperkatakan sebagai kesan pemanasan kepulauan urban.
Suhu bandar meningkat pada musim panas disebabkan oleh persekitaran urban yang memperlihatkan bangunan-bangunan konkrit dan laluan pejalan kaki yang menyerap haba.
Dalam lingkaran yang ganas, kepanasan itu meningkatkan lagi penggunaan penghawa dingin, menyebabkan pertambahan pengeluaran gas karbon dioksida yang merupakan punca pemanasan global.


SEKUMPULAN pelawat kagum melihat pokok bunga ros yang tumbuh subur di ladang Pasona 02 yang terletak di atas bumbung pejabat di Tokyo.

--------------------------------------------------------------------------------


Digalakkan oleh Gabenor Tokyo, Shintaro Ishihara, yang juga merupakan seorang pencinta alam, sebilangan pemilik bangunan di ibu negara itu telah memperkenalkan aktiviti bercucuk-tanam di bahagian bumbung bangunan sebagai cara untuk mengelakkan pemanasan yang melampau.
Projek Green Potato yang dilancarkan oleh dua syarikat subsidiari gergasi komunikasi Jepun, NTT Corp., petani bandar bukan sahaja membantu menyejukkan Tokyo tetapi juga menuai ubi keledek pada musim luruh.
"Pokok-pokok ubi keledek tumbuh teguh dalam persekitaran bumbung yang menerima sinaran terik matahari dan tiupan angin kuat," kata Masahiro Nagata, seorang kakitangan di jabatan perniagaan alam NTT Facilities Inc.
Pokok ubi itu amat baik untuk kawasan bumbung kerana daunnya yang lebar mampu menutupi seluruh permukaan dan efisien dalam proses transpirasi iaitu penyejatan air yang memberikan kesan penyejukan.
Suhu kawasan bumbung yang tidak dilitupi daun-daun ubi boleh mencecah 27 darjah selsius lebih panas daripada yang ditutup oleh daun, menurut satu tinjauan yang diambil di sudut atas bangunan NTT Facilities.
Sayur-sayuran itu dimakan oleh penduduk tempatan. Ini membantu mengurangkan satu lagi kegusaran yang dialami di Jepun iaitu jaminan keselamatan makanan.
Jepun, yang mempunyai sumber semula jadi yang terhad, mengimport 60 peratus makanan yang diambil rakyatnya. Angka tersebut adalah lebih tinggi berbanding negara-negara kaya yang lain.
Kebimbangan awam terhadap makanan tercemar, khususnya yang diimport dari China, semakin meningkat.
Pada tahun lalu, rakyat Jepun telah jatuh sakit akibat memakan ladu beku dan kacang hijau yang tercemar dengan pestisid dari China.
Sasaran NTT Facilities bukan hanya terhad pada bangunan-bangunan pejabat besar di Tokyo tetapi juga di sekolah-sekolah, dengan hasrat untuk memasarkan program Green Potato di seluruh negara.
Nagata berkata, beliau berharap lebih ramai kanak-kanak di kawasan urban dapat mempelajari mengenai alam sekitar dan keseronokan menanam sayuran dengan usaha mereka sendiri.
Keseronokan telah dirasai dalam kalangan para pekerja pejabat di Ginza, daerah beli-belah Tokyo yang meriah, di mana hartanahnya paling mahal di Jepun.
Yukio Oki, jurucakap gedung beli-belah Matsuya, berasa amat gembira dengan bakulnya yang dipenuhi sayur-sayuran seperti tomato, terung, timun, labu dan tembikai yang dituai beliau di bahagian bumbung bangunan tersebut.
"Kami telah menuai banyak sayur-sayuran dan menikmati kari sayuran yang enak," kata Oki. - AFP
http://www.ehoza.com/v4/forum/info-pengetahuan-am/30457-kebun-sayur-atas-bumbung.html

No comments: