Sunday, May 11, 2008

Persoal manifesto DAP

SAYA tidak bersetuju dengan manifesto DAP dan cadangan Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng untuk menggunakan 50 peratus daripada keuntungan yang diperoleh oleh Petronas sebagai bonus untuk meringankan beban rakyat.
Beliau mesti faham satu hakikat dengan jelas, Petronas sebagai syarikat milik negara Malaysia mempunyai salah satu tugas yang penting iaitu membantu kerajaan untuk membangunkan negara secara berterusan.
Keuntungan yang diperolehnya tidak seharusnya dibelanjakan habis dalam masa yang singkat, kerana kita kini hidup dalam zaman globalisasi yang lebih mencabar dan penuh dengan ketidaktentuan.
Janganlah fikir yang simpanan petroleum tidak akan habis satu hari nanti dan kita juga tidak boleh harapkan permintaan terhadap minyak petroleum akan kekal tidak berubah.
Setahu saya kini banyak negara seperti Finland, Sweden, Belanda dan Jepun sedang berusaha keras untuk mencari tenaga gantian alternatif. Contohnya minyak yang diperoleh daripada buah Jatropha Curcas telah digunakan untuk menjana kuasa elektrik di Jepun dan untuk mengendalikan jentera.
Sehubungan dengan ini, saya berpendapat sebahagian daripada keuntungan Petronas juga harus digunakan bagi tujuan penyelidikan dalam bidang tenaga gantian supaya negara boleh bersedia untuk menghadapi cabaran dan keperluan masa depan yang pastinya lebih kritikal. Kita haruslah sediakan payung sebelum hujan.
Maka adalah wajar bagi negara menggunakan keuntungan yang diperolehi daripada wang petroleum untuk pelaburan dalam bentuk pembangunan infrastruktur dan pendidikan untuk persiapan masa depan.
Saya masih ingat apa yang bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad nyatakan suatu masa dahulu berhubung isu ini.
Katanya, apa yang lebih penting bukanlah galian yang ada di bawah kaki tetapi yang utamanya kandungan dalam minda kita.
Maksudnya ialah kita mesti berusaha untuk menjana sumber manusia antaranya memberikan pendidikan terbaik kepada generasi muda melalui pelaburan dalam pendidikan supaya dapat kita bersaing dengan negara lain serta berkembang secara berterusan pada masa depan.
– GOH HOE HOE,
Kampung Kasipillai,

No comments: