Sunday, May 11, 2008

Skim Subsidi Kerajaan Wujudkan Kestabilan

Isu subsidi dan negara kebajikan dibangkitkan pihak pembangkang. Namun, dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, perkara ini perlu difahami dan tidak dipesong oleh pihak yang cuba menjadi juara. Mengikut laporan akhbar 26 Januari lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng antara lain dipetik sebagai berkata bahawa cara paling baik untuk mengurangkan beban rakyat adalah dengan memberikan bantuan wang sebanyak RM6,000 kepada keluarga berpendapatan kurang RM6,000 setahun dan RM3,000 bagi individu berpendapatan kurang RM3,000 setahun. Pada pendapat saya, cadangan itu tidak praktikal dan tidak sesuai dengan budaya orang Malaysia. Cadangan Lim lebih kurang serupa dengan skim bantuan pengangguran yang diamalkan di negara Barat.
Skim itu jika dilaksanakan di Malaysia, akan membawa kesan sangat buruk. Ia akan menghasilkan orang yang malas bekerja dan tidak berusaha, seterusnya merendahkan kadar pengeluaran negara dan kemampuan bagi negara untuk bersaing, akhirnya akan mewujudkan kemelesetan ekonomi di negara kita. Lim juga membuat ulasan bahawa subsidi yang diberi oleh kerajaan ke atas barang keperluan utama tidak berguna. Adakah ini satu pandangan yang melampau? Skim subsidi ke atas barang keperluan utama bukan saja diamalkan di negara kita, malah juga diamalkan oleh negara maju seperti Jepun. Di Jepun, subsidi yang diberikan oleh kerajaan Jepun ke atas beras adalah jauh lebih tinggi daripada harga pasaran beras, iaitu kira-kira 20 kali ganda. Tetapi langkah ini tidak menjejaskan prestasi ekonomi Jepun, sebaliknya memberi kesan baik dalam membentuk masyarakat yang stabil di Jepun.
Apabila pihak pentadbir menjalankan pentadbiran, mereka bukan saja mesti mengambil kira kos perakaunan dan kos pengeluaran, malah harus juga memberikan keutamaan terhadap kestabilan masyarakat, keperluan rakyat dan kemampuan bagi negara kita untuk bersaing pada masa depan. Tujuan utama Kerajaan Malaysia memberikan subsidi ke atas barang dan perkhidmatan utama ialah untuk memastikan semua orang, yang tua dan muda, cukup makan dan hidup selesa. Ini bagi membolehkan orang dewasa dapat menumpukan perhatian kepada pekerjaan mereka dan seterusnya memberi sumbangan kepada perkembangan ekonomi negara, supaya anak kita dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran mereka. Ini seterusnya menjadi mereka golongan yang dapat bersaing pada masa depan dan memberikan sumbangan mereka kepada perkembangan ekonomi negara.
Skim subsidi bukan saja baik untuk pengguna, malah untuk peniaga kerana dengan wujudnya skim subsidi, kuasa membeli pengguna dapat dikekal, perniagaan maju dan hasil cukai pendapatan kerajaan dapat juga dikekalkan. Oleh itu, langkah kerajaan memberikan subsidi yang berpatutan adalah satu langkah bijak untuk memastikan kestabilan masyarakat dan perkembangan ekonomi. Dalam pentadbiran negara, kita tidak boleh meniru bulat bulat piawaian yang ditetapkan oleh negara Barat, sistem demokratik yang berasal dari Yunani (Greek) dan mekanisme pasaran bebas atau hukum pengagihan semula yang dicadangkan oleh Karl Marx. Sebaliknya kita juga mesti mengikut cara Timur seperti sikap kesederhanaan dan konsep masyarakat yang bersatu padu yang diajar oleh Confucious. Masyarakat bersatu padu adalah satu konsep yang disebutkan oleh Confucious, ahli falsafah handal bangsa China dalam bukunya bertajuk Rakaman Istiadat. Confucious berpendapat untuk mewujudkan satu masyarakat yang aman dan progresif, pentadbir mesti memberikan keutamaan kepada kebajikan rakyat. Pegawai kerajaan mestilah terdiri daripada golongan berilmu, berkebolehan dan berbudi pekerti. Pegawai kerajaan mesti ikhlas untuk membentuk satu masyarakat berbilang budaya yang harmoni. Dalam satu masyarakat yang ditadbir dengan sempurna, orang tua meneruskan perjalanan hidup mereka sampai titik akhir penuh dengan maruah dan kegembiraan, orang dewasa yang sihat diberi peluang untuk bekerja dan menunjukkan kebolehan mereka, manakala anak diasuh dan dididik dengan baik. Orang yang kurang bernasib dan kurang berkeupayaan pula diberi jagaan. Setiap orang diberikan tugas dan dihormati, setiap keluarga hidup dengan sejahtera. Tidak ada orang yang suka membazirkan sumber pengeluaran dan juga tidak ada orang yang mahu menyorok sumber pengeluaran untuk mencari kekayaan. Tidak ada orang yang enggan berusaha dan tidak ada orang yang berusaha semata mata untuk kepentingan diri sendiri saja. Masyarakat yang mempunyai ciri itu, digelar sebagai masyarakat yang bersatu padu. Kerajaan menunjukkan pencapaian yang baik dalam usaha untuk mempertingkatkan taraf hidup rakyat , mewujud masyarakat yang aman dan maju. http://www.bharian.com.my/

No comments: